Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the rank-math domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/adrinis/therpflifestyle.com/wp-includes/functions.php on line 6114
Punca Utama Bayi Kembung Perut Dan Cara Merawatnya

Bayi kembung perut adalah masalah kesihatan biasa yang dialami oleh bayi baru lahir sehingga sekurang-kurangnya mencecah usia setahun. Antara simptom yang ditunjukkan oleh bayi mengalami kembung perut adalah kekerapan menangis tanpa sebab. Bagi yang baharu bergelar ibu bapa sudah tentu ia mencetuskan rasa bimbang dan tanda tanya mengapa ia terjadi. Mari semak apa punca menyebabkan bayi mengalami masalah ini dan cara-cara mengatasinya.

Apa Itu Bayi Kembung Perut?

Bayi kembung perut disebabkan oleh pengumpulan gas dalam perut bayi yang menyebabkan kembung atau ketidakselesaan. Gas ini biasanya terhasil ketika proses penghadaman makanan (susu) dalam sistem pencernaan bayi. Walau bagaimanapun, masalah kembung perut ini tidak berbahaya dan ia merupakan sebahagian daripada perkembangan normal bayi.

Tanda-Tanda Bayi Kembung Perut

Tanda-tanda bayi mengalami masalah kembung perut adalah penting untuk dikenalpasti oleh ibu bapa agar langkah-langkah dapat diambil untuk membantu mengurangkan ketidakselesaan yang dialami bayi. Berikut adalah tanda-tanda yang mungkin menunjukkan bayi mengalami masalah kembung perut:

  • Bayi kerap menangis berbanding biasa.
  • Lebih kerap sendawa dan kentut.
  • Bayi akan lebih kerap muntah.
  • Demam
  • Bayi kelihatan resah dan serba tidak kena.
  • Bayi mengalami sembelit dan kesukaran membuang air besar.

Baca juga Ubat Sakit Perut

Punca Bayi Kembung Perut

Terdapat beberapa punca biasa yang akan menyebabkan bayi kembung perut dan tidak selesa seterusnya akan menangis tanpa henti.

1. Sistem Penghadaman Belum Matang

Sistem penghadaman bayi masih belum matang sepenuhnya, dan ini boleh menyebabkan pengumpulan gas. Dalam tempoh ini, bayi mungkin mengalami kesusahan untuk mengeluarkan gas dengan lancar seterusnya membuatkan perut mereka mudah berangin.

2. Tertelan Udara Semasa Menyusu

bayi kembung perut
Foto: Pexel.com

Apabila bayi menyusu, mereka mungkin menelan sejumlah kecil udara sekiranya cara lekapan pada payudara tidak betul atau posisi botol susu yang digunakan memudahkan udara masuk . Ini boleh menyebabkan pengumpulan gas dalam perut dan usus mereka.

3. Pengenalan Makanan Baharu

Jika bayi anda berusia enam bulan ke atas dan sudah mula makan makanan pejal, maka kemungkinan pengambilan makanan baharu juga boleh menyebabkan pengumpulan gas dalam perut dan usus. Ada sesetengah bayi mungkin tidak sesuai pada sesetengah makanan yang berpotensi menyebabkan angin.

4. Pemakanan Ibu Menyusu

Faktor pemakanan yang diambil oleh ibu menyusu bayi turut menyumbang pada masalah bayi kembung perut kerana bayi akan terus mendapat khasiat makanan daripada susu ibu yang diminum. Jika ibu menyusu mengambil makanan tertentu, seperti kekacang atau makanan yang mempunyai potensi menyebabkan gas, ini boleh menyumbang kepada masalah bayi perut kembung.

5. Alahan Atau Intoleransi

Beberapa bayi mungkin mempunyai masalah alahan atau intoleransi terhadap sesetengah bahan dalam susu formula atau makanan yang diberikan. Ini boleh menyebabkan peningkatan gas dalam sistem pennghadaman mereka yang masih belum matang.

Cara Mengatasi Bayi Kembung Perut

Sebagai ibu bapa, anda perlu mengetahui cara hilangkan kembung perut bayi bagi mengelakkan si kecil terus menangis tanpa henti. Berikut antara cara berkesan dan pantas yang boleh dilakukan.

1. Posisi Bayi Semasa Menyusu

Tidak kira sama ada bayi anda menyusu susu ibu atau susu formula, posisi mereka semasa menyusu dapat mengurangkan jumlah udara yang ditelan. Letakkan bayi dalam kedudukan yang betul semasa menyusu, dengan kepala sedikit lebih tinggi daripada badan. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah udara yang ditelan semasa menyusu.

Untuk bayi menyusu badan, pastikan posisi bibir bayi melekap betul pada areola payudara ibu. Jika bayi minum dari botol, pastikan puting botol tidak terlalu besar sehingga menyebabkan bayi menelan terlalu banyak udara. Gunakan botol yang direka khas untuk mengurangkan udara yang masuk semasa minum susu.

2. Pemilihan Makanan Ibu Menyusu

Ibu menyusu anak, perlu memantau pemakanan mereka. Sebaiknya elakkan makanan yang boleh menyebabkan gas berlebihan seperti kekacang, sayuran seperti brokoli, kobis dan sayuran berkanji seperti kentang, minuman berkafein seperti kopi, teh, coklat dan minuman soda. Ini boleh membantu mengurangkan masalah kembung perut bayi.

3. Sendawakan Bayi

Urutan lembut di belakang badan bayi membantu bayi sendawa selepas menyusu. Proses sendawakan bayi membantu mengeluarkan angin semasa menyusu seterusnya mengurangkan potensi gas masuk ke dalam sistem penghadaman bayi.

bayi kembung perut
Foto: Pexel.com

4. Urut Bayi Lembut Dan Perlahan

Bukan orang dewasa sahaja akan merasa lega bila diurut tetapi bayi juga akan lebih selesa dan tenteram sekiranya diurut secara lembut dan perlahan. Masalah kembung perut bukan sahaja berpunca daripada aktiviti menyusu tetapi udara yang sejuk dan kerap menangis juga boleh menyebabkan udara terperangkap dalam perut si manja. Jadi dengan cara menggosok perlahan perut bayi dan belakang badannya membantu mengurangkan angin yang terperangkap dan memberi kelegaan kepadanya.

Buat urutan sekurang-kurangnya sejam selepas sesi menyusu bayi untuk mengelakkan daripada si manja termuntah dan hentikan urutan sekiranya bayi menangis.

5. Buat Gerakkan Mengayuh Pada Kaki Bayi

Pergerakan kaki seperti mengayuh basikal membantu mengeluarkan gas yang berlebihan dalam perut bayi melalui sendawa atau kentut. Selain itu ia juga membantu bayi lebih tenang dan selesa.

Jadi bagi yang baharu bergelar ibu ayah, jangan cepat panik kalau si manja menangis tanpa henti walaupun sudah dipenuhi keperluan utamanya seperti menyusu, menyalin lampin dan tidur. Pastikan anda ambil tindakan segera mengurangkan rasa ketidakselesaan kembung perut yang dialami.